Tuesday, March 31, 2009

Cara-cara membuat Laksam

Bahan-bahan (untuk 12 orang makan)

A. Bahan Untuk Membuat Kuah Laksam

10 ekor ikan tambang / kembung / sardin (dibersih dan dikukus / direbus dengan sedikit garam dan dibuang tulang apabila masak)
10 ulas bawang merah (ditumbuk atau dikisar)
1 ulas bawang putih (tidak dimasukkan pun tidak mengapa)
Sedikit lada hitam (ditumbuk lumat)
Lima (5) hingga enam (6) keping asam keping
1 (sebiji) kelapa (diambil santan)

B. Bahan Untuk Membuat Laksam

500 gm atau sebungkus tepung beras
2 setengah liter (2 dan 1/2) air suam
Sedikit garam

C. Bahan Untuk Ulam

Tiga (3) tangkai kacang panjang
Sebiji timun
Seikat daun kesum
Tiga (3) batang bunga kantan
Seikat daun serai kayu / daun salam /
Tauge boleh juga dimasuk

Cara-cara:

A. Penyediaan Kuah Laksam

Isi ikan yang siap dibuang tulang tadi dikisar atau ditumbuk bersama bawang merah dan bawang putih. Selepas ditumbuk sebati, campurkan dengan satu (1) liter santan dan sedikit lada hitam yang telah ditumbuk. Masakkan bahan tadi di atas api. Kuah hendaklah sentiasa dikacau sehingga mendidih. Masukkan asam keping, garam dan sedikit gula (gula boleh ganti dengan ajinomoto). Angkat kuah tadi setelah ia mendidih. Kacau seketika dan biarkan sejuk.


B. Penyediaan Laksam

Bancuhkan 500 gm tepung beras tadi dengan 2 1/2 liter air suam dan kacau hingga sebati. Masukkan sedikit garam. Masukkan lebih kurang sesenduk tepung yang dibancuh tadi ke dalam loyang dan kukus selama lima (5) minit. Apabila masak, angkat loyang tadi dan gulung (seperti kuih ketayap). Ulang langkah 3 dan 4 sehingga habis. Biarkan laksam sejuk sebelum di potong lebih kurang satu (1) cm.


C. Penyediaan Ulam

Semua bahan untuk ulam dihiris halus-halus.

Hidangan:

Masukkan laksam yang telah dipotong ke dalam pinggan. Masukkan kuah mengikut citarasa. Masukkan ulam mengikut citarasa juga.

Selamat mencuba.