Monday, February 28, 2011

Acar Pisang Gala

Bahan-bahan:


5 biji pisang gala
1 cawan santan
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering
½ inci halia
½ cawan minyak masak (untuk menumis)
1 senduk cuka makan
2 scup gula
1 sudu garam
½ cawan air

Bahan hiasan:

1 labu bawang besar dibelah 6
2 biji cili merah (dibelah dua)
2 biji cili hijau (dibelah dua)
Cara-cara:

1. Pisang dibersih dan dikelar-kelar nipis.
2. Kemudian rendam dalam air garam selama 20 hingga 30 minit. Ketika berada dalam air garam, pisang tersebut diuli dengan perlahan supaya tidak hancur.
3. Siramkan pisang tersebut dan toskan.
4. Bawang merah, bawang putih, cili kering dan halia digiling lumat dan ditumis sehingga naik bau.
5. Kemudian masukkan garam, cuka dan gula lalu dikacau sehingga mendidih.
6. Masukkan pisang yang ditoskan tadi dan kacau perlahan-lahan supaya bahan-bahan tadi meresap ke dalam isi pisang.
7. Setelah agak layu masukkan setengah cawan air dan masak seketika.
8. Masukkan santan setelah pisang masak.
9. Biarkan ia mereneh seketika dan masukkan bahan-bahan hiasan dan biarkan lebih kurang lima minit.
10. Angkat dan hidangkan.



Solok Lada

Cara-cara menyediakan solok lada


Bahan-bahan:

10 biji lada solok (buang biji dan bersihkan)
3 ulas bawang merah (ditumbuk)
1 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 hiris halia (ditumbuk)
10 biji lada hitam (ditumbuk)
5 ekor ikan tamban atau sardin yang telah dipanggang atau direbus (dibuang tulang dan tumbuk)
½ biji kelapa parut (ambil putih sahaja)
½ cawan santan pekat
½ cawan santan cair
Sedikit garam
Sedikit gula
Sedikit Ajinomoto (pilihan)

Cara-cara:

1. Semua bahan-bahan yang ditumbuk tadi hendaklah digaul dan ditumbuk semuanya.
2. Setelah sebati gaulkan dengan kelapa parut.
3. Kemudian masukkan sedikit garam, gula, ajinomoto dan setengah cawan santan pekat.
4. Gaul rata-rata dan sumbat ke dalam lada.
5. Kemudian masukkan lada tadi ke dalam periuk.
6. Masukkan setengah cawan santan cair lalu dimasakkan di atas api lebih kurang 10 hingga 15 minit.



Jeruk Maman

Jeruk Maman

Bahan-bahan:

1 kilo sayur maman
1 cawan nasi sejuk
2 cawan air masak
2 sudu besar garam
3-4 biji cili api

Cara-cara:

1. Sayur maman dipotong pendek-pendek dan ambil bahagian lembut sahaja. Bersihkan maman tersebut dan jemur sehingga layu.
2. Maman yang telah layu tadi diperap dengan garam selama 1-2 jam.
3. Kemudian masukkan air, cili dan peram di dalam bekas yang sesuai. Bagi mempercepatkan kemasaman maman, masukkan nasi (bungkus nasi dalam kain net supaya tidak bersepah dalam maman.)
4. Biarkan maman tadi selama 1 hari baru boleh dihidang.

* Semasa hidangan, masukkan ikan bakar/rebus dan patah-patahkan cili api.